KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja dalam kes pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didakwa membuli lima pelatih pasukan itu, jika terbukti bersalah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, buat masa ini siasatan masih dijalankan termasuk di peringkat dalaman TUDM.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ini bukan budaya kita. Jika didapati ada anggota yang benar-benar terlibat dan tidak mengendahkan larangan-larangan dalam terma perkhidmatan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk buang kerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, pada Rabu.

Pada masa sama, Mohamad turut menasihati anggota ATM supaya tidak terlibat dalam sebarang perkara terlarang yang melanggar syarat perkhidmatan pasukan itu.

Media sebelum ini melaporkan lima pelatih kursus TUDM mendakwa dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Kejadian dibongkar keluarga salah seorang mangsa yang membuat laporan polis sebelum ia ditularkan di Twitter.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf sebelum ini mengesahkan lebih 10 individu dipanggil memberi keterangan bagi tujuan siasatan berhubung kes buli terbabit pada 12 April lalu.

Beliau turut menjangkakan kes tidak mengambil masa yang lama dan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.